MARI BERKONGSI ILMU TENTANG PUASA DI BULAN RAMADAN AL-MUBARAK

Saturday, May 11, 2013

Defini Puasa Ramadan

Puasa Ramadan ialah puasa wajib bagi umat Islam di sepanjang bulan Ramadan. Dalam sepanjang bulan ini, umat Islam diwajibkan menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa tersebut. Waktu berpuasa itu pula ialah mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari setiap hari.

Dari segi syarak, puasa bermaksud menahan diri dari berbuka pada masa yang tertentu iaitu bermula dari terbir fajar hingga terbenam matahari untuk orang tertentu dengan disertakan niat.

Puasa Ramadan adalah wajib

Puasa Ramadan adalah salah satu dari lima Rukun Islam (selain dari mengucap, sembahyang, zakat, dan pergi haji). Hukum puasa di bulan Ramadan adalah wajib.

Dalam al-Quran Surah al-Baqarah: 183 Allah telah berfirman yang bermaksud "Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa."

Terdapat satu hadis riwayat Ahmad, An- Nasa'i dan Al-Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud: "Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan......."

Tempoh berpuasa

Tempoh berpuasa ialah dari waktu terbit fajar itu ialah bila masuk waktu sembahyang Subuh, sehinggalah waktu terbenam matahari iaitu waktu apabila sudah masuk waktu Maghrib. Jadi waktu berpuasa ialah apabila masuk saja waktu Subuh sampailah masuk waktu Maghrib.

Dari sudut geografi, fajar ialah cahaya kemerah-merahan di kaki langit sebelah timur sejurus sebelum matahari terbit. Matahari belum terbit lagi tetapi cahaya lemah kemerah-merahan sudah mula muncul di kaki langit. Kalau kita baca buku-buku tentang puasa, ada yang menyebut tentang fajar sadik. Fajar sadik ini ialah cahaya kemerah-merahan yang mula-mula muncul. Cahaya 'sadik' inilah yang dianggap sebagai batas atau sempadan antara akhir malam dan permulaan pagi.

Tempoh masa berpuasa dalam satu-satu hari ini dinyatakan dalam Surah al-Baqarah ayat 187 yang bermaksud: "Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam) iaitu (waktu) fajar, kemudian sempurnakanlah puasa itu hingga waktu malam (maghrib)".

Sahur

Sahur ialah makan sebelum memulakan puasa. Waktu sahur ini habis bila masuk saja waktu sembahyang Subuh. Sahur ini tidak wajib. Jadi tidak sahur pun tak apa. Namun ada satu hadis yang Nabi Muhammad s'a.w (riwayat Muslim) yang bermaksud bahawa yang membezakan puasa kita (umat Islam) dengan puasa Ahli Kitab ialah bersahur. Ada satu lagi hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud "Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan".

Jadi sahur itu sunat. Jadi eloklah kita menambah amal ibadat di bulan Ramadan dengan perkara-perkara sunat untuk menambahkan pahala. Lagi pun sahur ini bolehlah dianggap sebagai 'pengalas perut' atau 'penyimpan tenaga' sebelum memulakan puasa. Bersahur dapat membantu kita untuk menjadi lebih cergas dan bertenaga semasa berpuasa, di samping mendidik seseorang untuk bangun pada sepertiga akhir malam. Ini kerana waktu tersebut adalah waktu yang mempunyai kelebihan untuk ibadah dan dimustajabkan doa serta istighfar.

Imsak

Imsak ialah waktu berjaga-jaga, iaitu lebih kurang 10 minit sebelum masuk waktu Subuh. Imsak dalam bahasa Arab bermaksud 'menahan daripada sesuatu'. Ada satu hadis daripada Zaid bin Thabit yang bermaksud:

"kami sahur bersama Rasulullah SAW kemudian kami berdiri solat. Saya bertanya "berapa lama jarak antara kedua-duanya itu?", baginda bersabda '50 ayat al-Qur’an' (HR Bukhari).

Hadis di atas menunjukkan yang Nabi Muhammad s'a.w makan sahur, kemudian lepas habis makan sahur itu ada suatu 'jarak waktu' sebelum baginda mula bersembahyang Subuh. Tempoh waktu antara habis sahur dengan solat Subuh itu ialah kira-kira lama membaca '50 ayat al-Quran'

Jadi sebenarnya dalam tempoh waktu imsak itu bukanlah haram untuk makan minum sebab haram makan-minum hanyalah bila sudah masuk waktu Subuh. Waktu imsak itu hanyalah waktu untuk 'berjaga-jaga' atau waktu persiapan untuk memulakan puasa. Tetapi berhenti sahur dalam tempoh '50 bacaan ayat al-Quran' sebelum masuk waktu Subuh itu adalah sunnah Nabi Muhammad s'a.w. Jadi sedapat-dapatnya eloklah kita lakukan yang sunnah itu.

Niat Puasa

Tiada puasa tanpa niat. Jadi kalau nak berpuasa, kena ada niat. Niat ialah menyatakan dalam hati yang kita nak buat sesuatu. Tidak wajib berniat dalam bahasa Arab. Jadi boleh niat dalam bahasa Melayu. Waktu niat adalah selepas waktu Maghrib (waktu berbuka) dan sebelum masuk waktu Subuh. Boleh saja berniat puasa masa hendak tidur. Tapi lebih baiknya ialah berniat selepas waktu sahur.

Boleh niat puasa untuk setiap kali nak berpuasa. Tapi boleh juga berniat untuk berpuasa sebulan, iaitu berniat untuk menunaikan puasa setiap hari pada sepanjang bulan Ramadan.

Di bawah ini pula ialah doa semasa berbuka puasa:

Tingkatan Puasa

Imam Abu Hamid al-Ghazali dalam bukunya Ihya al-'Ulumuddin telah membahagikan puasa itu kepada 3 tingkatan (level) iaitu:

  • Puasa orang awam (shaum al-'umum): menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum.
  • Puasa orang khusus (shaum al-khusus): turut berpuasa dari panca indera dan seluruh badan dari segala bentuk dosa.
  • Puasa orang istimewa, super khusus (shaum al-khawasi al-khawas): turut berpuasa 'hati nurani', iaitu tidak memikirkan sangat soal keduniaan

----------------------------------

Baca pandangan Dr Mohd Asri Zainul Abidin (MAZA) tentang sahur dan hukumnya.

No comments:

Post a Comment