MARI BERKONGSI ILMU TENTANG PUASA DI BULAN RAMADAN AL-MUBARAK

Friday, May 10, 2013

Hukum-hukum puasa Ramadan

Mari kita lihat segala sesuatu tentang perkara paling asas dalam amalan ibadat puasa di bulan Ramadan. Puasa biar sempurna kerana kita tidak mahu untuk hanya mendapat lapar tapi tidak mendapat pahala. Oleh itu elok sangatlah untuk kita tahu segala sesuatu tentang hukum-hakam puasa di bulan Ramadan.

Syarat wajib

Orang Islam (1) berakal (tidak gila), (2) sudah baligh (cukup umur), dan (3) mampu (tidak uzur) ialah orang yang memenuhi syarat-syarat untuk diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadhan. Jika belum ada ketiga-tiga ciri ini maka belum wajib lagi untuk seseorang itu untuk berpuasa.

Syarat sah

Syarat sah pula ialah syarat-syarat yang membolehkan puasa itu diterima di dalam Islam. Ada empat syarat sah puasa Ramadan iaitu

  • Orang Islam.
  • Berakal - tidak sah jika gila atau kanak-kanak belum mumayyiz
  • Suci daripada haid dan nifas (bagi wanita)
  • Dalam waktu yang dibolehkan berpuasa, iaitu bukan dalam tempoh haram puasa.

Rukun Puasa

Rukun ialah perkara yang perlu dibuat untuk menjadikan sesuatu amalan itu sempurna dan boleh diterima.

  • Niat
  • Menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari.

Perkara-perkara Sunat

Sunat ialah perkara-perkara yang tidak berdosa jika tidak dibuat, namun akan mendapat pahala jika dibuat. Oleh itu kita digalakkan untuk lakukan perkara-perkara sunat ini supaya kita mendapat pahala lebih di bulan Ramadan. Antara sunat-sunat puasa adalah seperti berikut:

  1. Segerakan buka puasa apabila telah masuk waktu berbuka. Apabila telah masuk waktu berbuka (waktu Maghrib), janganlah dilengah-lengahkan makan-minum. Makan saja terus, tunggu apa lagi.

  2. Melambatkan makan sahur, iaitu makan sahur di penghujung waktunya.

  3. Menjauhi perkara-perkara maksiat semasa berpuasa.

  4. Tunaikan solat terawih sama ada secara sendirian, berjemaah di rumah, atau beramai-ramai di masjid/surau.

  5. Berdoa dan berzikir selepas solat witir.

  6. Bertadarus (baca al-Quran secara berkumpulan).

  7. Iktikaf di masjid pada 10 malam Ramadan yang terakhir.

  8. Besedekah.

  9. Membaca doa semasa berbuka puasa.

  10. Memulakan buka puasa dengan tiga biji kurma.

Perkara-perkara makruh

Makruh bermakna tidak berdosa jika buat, namun jika ditinggalkan, akan mendapat pahala. Antara contoh perkara yang makruh dilakukan semasa berpuasa Ramadan ialah:

  1. Berkumur-kumur semasa hampir masuk waktu berbuka.

  2. Gosok gigi semasa hampur masuk waktu berbuka.

  3. Memasukkan air ke dalam rongga hidung secara berlebihan.

  4. Menuturkan kata-kata yang kotor, keji dan sia-sia.

  5. Memandang atau mencium bunga atau buah-buahan.

  6. Berbekam, jika amalan bekam itu melemahkan badan. Kalau tidak melemahkan badan maka tidak makruh.

  7. Merasa makanan dengan lidah semasa memasak.

  8. Mengunyah benda-benda keras atau liat seperti getah dan yang seumpama dengannya.

Jadi perkara-perkara yang makruh ini cubalah untuk dihindari.

Terbatal Puasa

Berikut adalah perkara-perkara yang apabila dilakukan, atau terjadi, akan membatalkan puasa:

  • Makan dan minum dengan sengaja

  • Muntah dengan sengaja

  • Bersetubuh

  • Mengeluarkan air mani dengan sengaja

  • Keluar darah haid atau nifas (bagi wanita)

  • Hilang akal (menjadi gila)

  • Pitam (termasuk pengsan) atau mabuk sepanjang hari

  • Murtad (keluar dari Islam)

  • Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka di tubuh badan

Berbuka Sebelum Waktu

Terdapat golongan tertentu yang dibenarkan untuk berbuka puasa walaupun waktu berbuka puasa belum sampai lagi. Mereka ialah:

  • Orang yang sakit

  • Orang yang kerja kuat (seperti buruh kasar)

  • Musafir iaitu orang yang dalam perjalanan lebih dari 2 marhalah

  • Orang tua yang sudah lemah

  • Wanita yang hamil

  • Wanita yang menyusukan anak

No comments:

Post a Comment