MARI BERKONGSI ILMU TENTANG PUASA DI BULAN RAMADAN AL-MUBARAK

Friday, May 10, 2013

Niat, Imsak, Sahur dan Berbuka

Proses puasa bermula dengan niat, disusuli dengan imsak, kemudian bersahur dan akhir sekali mestilah berbuka (atau iftar).

Niat puasa Ramadan

  1. Puasa Ramadan (malah semua jenis puasa) bermula dengan niat. Tiada puasa tanpa niat.

  2. Maksud niat ialah menyatakan dalam hati yang kita nak buat sesuatu. Niat berpuasa ialah menyatakan dalam hati yang kita ingin mengerjakan puasa. Boleh berniat menggunakan bahasa Melayu kerana menggunakan bahasa Arab bukannya wajib.

  3. Tempoh berniat adalah panjang iaitu selepas waktu Maghrib sehingga sebelum masuk waktu Subuh pada keesokan harinya. Oleh itu boleh sahaja berniat puasa masa hendak tidur, atau selepas selesai solat terawih. Namun adalah lebih baiknya sekirnya berniat selepas selesai sahur.

  4. Tempoh niat habis ialah sebaik sahaja masuk waktu Subuh.

  5. Niat berpuasa Ramadan dilakukan setiap hari sebelum berpuasa. Sama seperti niat sembahyang, yang dilakukan setiap kali kita ingin bersembahyang. Namun dibolehkan untuk terus pasang niat untuk berpuasa sebulan.

Sahur

Sahur ialah makan sebelum memulakan puasa. Waktu sahur ini habis bila masuk saja waktu sembahyang Subuh. Sahur ini tidak wajib. Jadi tidak sahur pun tak apa. Namun ada satu hadis yang Nabi Muhammad s'a.w (riwayat Muslim) yang bermaksud bahawa yang membezakan puasa kita (umat Islam) dengan puasa Ahli Kitab ialah bersahur. Ada satu lagi hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud "Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan".

Jadi sahur itu sunat. Jadi eloklah kita menambah amal ibadat di bulan Ramadan dengan perkara-perkara sunat untuk menambahkan pahala. Lagi pun sahur ini bolehlah dianggap sebagai 'pengalas perut' atau 'penyimpan tenaga' sebelum memulakan puasa. Bersahur dapat membantu kita untuk menjadi lebih cergas dan bertenaga semasa berpuasa, di samping mendidik seseorang untuk bangun pada sepertiga akhir malam. Ini kerana waktu tersebut adalah waktu yang mempunyai kelebihan untuk ibadah dan dimustajabkan doa serta istighfar.

Imsak

Imsak ialah waktu berjaga-jaga, iaitu lebih kurang 10 minit sebelum masuk waktu Subuh. Imsak dalam bahasa Arab bermaksud 'menahan daripada sesuatu'. Ada satu hadis daripada Zaid bin Thabit yang bermaksud:

"kami sahur bersama Rasulullah SAW kemudian kami berdiri solat. Saya bertanya "berapa lama jarak antara kedua-duanya itu?", baginda bersabda '50 ayat al-Qur’an' (HR Bukhari).

Hadis di atas menunjukkan yang Nabi Muhammad s'a.w makan sahur, kemudian lepas habis makan sahur itu ada suatu 'jarak waktu' sebelum baginda mula bersembahyang Subuh. Tempoh waktu antara habis sahur dengan solat Subuh itu ialah kira-kira lama membaca '50 ayat al-Quran'

Jadi sebenarnya dalam tempoh waktu imsak itu bukanlah haram untuk makan minum sebab haram makan-minum hanyalah bila sudah masuk waktu Subuh. Waktu imsak itu hanyalah waktu untuk 'berjaga-jaga' atau waktu persiapan untuk memulakan puasa. Tetapi berhenti sahur dalam tempoh '50 bacaan ayat al-Quran' sebelum masuk waktu Subuh itu adalah sunnah Nabi Muhammad s'a.w. Jadi sedapat-dapatnya eloklah kita lakukan yang sunnah itu.

Tempoh berpuasa

Tempoh berpuasa ialah dari waktu terbit fajar itu ialah bila masuk waktu sembahyang Subuh, sehinggalah waktu terbenam matahari iaitu waktu apabila sudah masuk waktu Maghrib. Jadi waktu berpuasa ialah apabila masuk saja waktu Subuh sampailah masuk waktu Maghrib.

Dari sudut geografi, fajar ialah cahaya kemerah-merahan di kaki langit sebelah timur sejurus sebelum matahari terbit. Matahari belum terbit lagi tetapi cahaya lemah kemerah-merahan sudah mula muncul di kaki langit. Kalau kita baca buku-buku tentang puasa, ada yang menyebut tentang fajar sadik. Fajar sadik ini ialah cahaya kemerah-merahan yang mula-mula muncul. Cahaya 'sadik' inilah yang dianggap sebagai batas atau sempadan antara akhir malam dan permulaan pagi.

Tempoh masa berpuasa dalam satu-satu hari ini dinyatakan dalam Surah al-Baqarah ayat 187 yang bermaksud: "Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam) iaitu (waktu) fajar, kemudian sempurnakanlah puasa itu hingga waktu malam (maghrib)".

No comments:

Post a Comment