MARI BERKONGSI ILMU TENTANG PUASA DI BULAN RAMADAN AL-MUBARAK

Monday, January 22, 2024

Bila kita mula berpuasa tahun ini

Umat Islam seluruh dunia mula berpuasa Ramadan pada 1 Ramadan 1445 Hijrah. Itu memang sudah pasti. Berdasarkan kalendar yang sedia ada yang digunakan di Malaysia, tarikh 1 Ramadan 1445 Hijrah jatuh pada 12 Mac 2024 hari Selasa.

Namun tarikh sebenar 1 Ramadan hanya diketahui bila diumumkan secara rasmi melalui saluran-saluran tv utama oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja. Jadi belum ada kepastian sama ada kita mula berpuasa pada 12 Mac 2024. Mungkin juga sehari kemudian. Tidak mungkin sehari awal.

Untuk mula berpuasa Ramadan tahun ini ada dua tarikh yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam iaitu:

  1. Tarikh pengumuman untuk melihat anak bulan
  2. Tarikh mula berpuasa (1 Ramadan 1445H)

Kedua-duanya akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja. Tahun lepas, tarikh melihat anak bulan ialah pada 22 Mac 2023 (29 Syaaban) dan tarikh mula berpuasa adalah 23 Mac iaitu pada keesokan harinya. Jadi tiada kejutan di situ kerana tarikh mula berpuasa adalah pada tarikh 1 Ramadan yang ada dalam kalendar.

Mac 2024

Isnin Selasa Rabu Khamis Jumaat Sabtu Ahad
1 2 3
4 5 6 7 8 9 10
11 12 13 14 15 16 17
18 19 20 21 22 23 24
25 26 27 28 29 30 31

Pada tahun ini sekiranya tiada kejutan maka tarikh mula berpuasa Ramadan adalah pada 12 Mac 2024.

Cara yang diajarkan oleh Nabi Muhammad s'a.w

Nabi Muhammad s'a.w mengajar umat Islam untuk menentukan waktu mula berpuasa dengan melihat anak bulan (disebut 'hilal'). Anak bulan dilihat pada 29 Syaaban. Jika nampak anak bulan, maka berpuasa pada keesokan harinya. Jika tidak nampak anak bulan kerana faktor cuaca (seperti awan tebal) yang menghalang orang melihat anak bulan, umat Islam diminta untuk menggenapkan bulan Syaaban kepada 30 hari dan berpuasa selepas itu (1 Ramadan). Itulah yang diajarkan oleh Nabi Muhammad s'a.w.

Oleh kerana itu jugalah bulan Syaaban ni kadang-kadang 29 hari sahaja. Kadang-kadang pula 30 hari. Begitu juga dengan puasa Ramadan. Kadang-kadang kita berpuasa 29 hari. Ada ketikanya pula kita berpuasa 30 hari di bulan Ramadan.

Melihat anak bulan (hilal) di Malaysia

Di Malaysia, semua waktu melihat anak bulan, hari permulaan puasa, dan hari permulaan raya diputuskan dan diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Anak bulan boleh dilihat pada hari rukyah (hari kebolehnampakan) yang telah ditetapkan iaitu pada 29 Syaaban, 29 Ramadhan ataupun 29 Zulkaedah pada waktu matahari belum terbenam. Sekiranya terdapat syarat-syarat hilal (anak bulan kelihatan), ia akan dipersetujui kedudukan anak bulan (hilal) telah ada.

Melihat anak bulan pada 29 Syaaban adalah untuk menentukan bila mula puasa Ramadan (1 Ramadan), pada 29 Ramadan untuk menentukan bila hari raya (1 Syawal), pada 29 Zulkaedah pula adalah untuk menentukan bila 1 Zulhijjah. Penentuan bula masuk bulan Zulhijjah adalah penting untuk urusan haji di Mekah.

Cara menentukan pemulaan puasa Ramadan dan hari raya di Malaysia adalah mengikut kaedah Kriteria Imkanur Rukyah Malaysia.

Sejak 1972 hingga kini ada 29 lokasi di semua negeri seluruh Malaysia yang telah diwartakan sebagai lokasi rasmi untuk melaksanakan cerapan anak bulan bagi menetapkan bermulanya Ramadan (dan juga Syawal dan Zulhijjah). Mungkin lokasi yang paling terkenal ialah Teluk Kemang di Port Dickson, Negeri Sembilan. Lokasi-lokasi ini adalah lokasi terbuka. Oleh itu orang ramai turut boleh datang untuk sama-sama mencerap anak bulan atau melihat-lihat orang mencerap anak bulan. Operasi mencerap (melihat anak bulan) dilakukan serentak di semua 29 lokasi rasmi ini.

No comments:

Post a Comment